Info Menafaat : Mari Mengenali Syarat-Syarat Sah Dan Rukun Solat.


Sofia berlari-lari anak. Matanya bersinar melihat ibu sedang menunggunya di depan pagar sekolah.

“Hari ini belajar apa?”
Tanya Ibu semasa di dalam kereta.

“Belajar syarat sah solat, rukun solat..”
Jawab Sofia ringkas.

“Oh. Cuba beritahu ibu syarat sah solat ada berapa?”
Tanya ibu.

“Ada 5!”

Sofia mengangkat 5 jari kanannya dengan penuh yakin.

“Bagus. Cuba sebut satu, satu. Ibu nak dengar.”
“Satu, niat!”
“Eh, itu rukun solat.”
“Alamak, terbaliklah!”
Sofia menepuk dahi.

Syarat sah solat adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu solat. Maksudnya, solat yang dikerjakan itu sahih kerana mengikut syarat-syarat tersebut. Rukun solat pula adalah perkara yang wajib dilakukan semasa bersolat. Tak boleh tinggal-tinggal. Mesti buat.

Seorang yang beragama Islam, sudah baligh, berakal, suci daripada haid dan nifas, selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan, dan sampai kepadanya seruan Islam, adalah wajib untuk menunaikan solat lima waktu.

Kalau tertinggal solat disebakan oleh tertidur atau terlupa, solat wajid diganti bila bangun dari tidur atau ingat. Pada masa itu, dia tidaklah berdosa.

Berikut adalah 5 syarat sah solat:

1. Anggota badan, pakaian, dan tempat untuk bersolat mestilah dalam keadaan suci seluruhnya. Pastikan anda bersih daripada hadas besar dan hadas kecil.

2. Wanita dan lelaki yang hendak menunaikan solat mestilah menutup aurat. Aurat bagi wanita adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua tapak tangannya, manakala aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lututnya.

3. Pastikan anda bersolat apabila telah masuk waktu solat.

4. Bersolat mestilah dengan menghadap kiblat.

5. Penting untuk tahu yang mana termasuk dalam rukun solat dan yang mana termasuk dalam kategori sunat supaya tidak terkeliru.

Selepas mengetahui syarat-syarat sah solat, kita lihat pula rukun-rukun solat.

Rukun solat ada 13 semuanya iaitu:

1. Berdiri tegak bagi yang mampu berdiri ketika solat fardhu. Manakala, bagi yang tidak mampu disebabkan oleh sakit dan sebagainya bolehlah melakukannya secara duduk, berbaring, terlentang, atau dengan menggunakan isyarat.

2. Niat. Hendaklah berniat untuk melakukan solat. Contohnya, kalau solat Maghrib, mestilah niat di dalam hati untuk bersolat Maghrib.

3. Takbiratul ihram iaitu dengan lafaz

“Allahu Akhbar”
4. Membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat. Bacaan mestilah dalam bahasa Arab dan didengari oleh diri sendiri.

5. Rukuk dengan tama’ninah. Rukuk adalah dengan meletakkan kedua tapak tangan ke lututnya sementara kepala dan belakang selari dengan punggung iaitu pada kadar 90°. Tama’ninah pula bermaksud kita diam sebentar sebelum meneruskan rukun seterusnya.

6. Iktidal adalah bangkit dari rukuk supaya kembali kepada kedudukan berdiri tegak beserta dengan tama’ninah. Kadar masa tama’ninah tidaklah lama iatu sekadar satu tasbih sahaja.

7. Sujud dua kali dengan tama’ninah. Ada tujuh anggota sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sujud mestilah dalam keadaan punggung lebih tinggi daripada kepala.

8. Duduk antara dua sujud dengan tama’ninah.

9. Duduk tasyahud/tahiyat akhir dengan tama’ninah.

10. Membaca tasyahud/tahiyat akhir.

11. Membaca selawat ke atas nabi Muhammad SAW pada tasyahud/tahiyat akhir.

12. Memberi salam yang pertama.

13. Tertib iaitu mengerjakan solat mengikut turutan. Oleh itu, tidak boleh mana-mana rukun yang kemudian dilakukan mendahului yang lebih awal.

Leave a Reply